Latest Post

Adilkah pengadil FA England menjalankan tugas

Written By peminat liverpool on Khamis, 12 April 2012 | 11:58 PG

Kad "MERAH" untuk Pepe Reina
Sejak kebelakangan ini, berbagai keputusan yang sukar untuk diterima akal dilakukan oleh pengadil2 FA England ini. Keputusan diluar jangka atau berat sebelah ini bukan sahaja berlaku kepada pasukan Liverpool sahaja, malah ia juga terjadi kepada QPR, Manchester City, Manchester United dan lain2 lagi. Tetapi kali ini, bukanlah nak cerita tentang pasukan lain, fokus kali ini nasib pasukan kita Liverpool yang sering menjadi mangsa keadaan.

Jika anda masih ingat, perlawanan antara Liverpool menentang Newcastle minggu lalu. Apa yang berlaku terhadap penjaga gol kita Pepe Reina setelah bertindak balas terhadap James Perch selepas beliau dikasari sewaktu ingin menghantar bola untuk serangan kilat. Reina yang bertindak menanduk muka James dilayangkan kad merah oleh Martin Atkinson tetapi hanya kad kuning sahaja untuk James padahal James yang melakukan kesalahan terlebih dahulu. Selain itu, posisi offside Cisse terlepas pandang oleh penjaga garisan dan pengadil sendiri untuk membenarkan gol kedua tercipta.

Dah terang2 Cisse dikedudukan offside. Linesman tidur kot.
Perlawanan menentang Aston Villa pada Sabtu lalu pula kita menyaksikan pengadil perlawanan Michael Oliver juga terlalu banyak memberi advantage kepada Aston Villa. Beberapa insiden bola yang terkena tangan pemain Villa didalam kotak penalti juga dipandang sepi oleh pengadil. Sekiranya Pengadil tidak nampak, apa gunanya penjaga garisan jika tidak berani untuk membuat sebarang keputusan. Sampai bilakah keadaan ini dapat diselesaikan.

Terbaru perlawanan awal pagi tadi menentang Blackburn. Kita lihat pengadil perlawanan Anthony Tailor seperti seorang kaki judi yang suka bermain dengan kad. Bayangkan pada perlawanan tersebut 9 kad kuning dilayangkan dan 1 kad merah dikeluarkan. Walaupun nampak adil kerana sama2 pasukan memperolehinya, tetapi akibat kerap melayangkan kad, pemain akan menjadi lebih berhati2 dan ini mengakibatkan kerancakkan perlawanan sedikit terganggu. Bayangkan hanya kesalahan kecil yang berlaku, juga boleh diberi kad kuning dan kes Doni dilayangkan kad merah pula nampak seperti tak boleh masuk akal. Doni yang tidak membuat terjahan keras tetapi  yang melanggarnya diberikan penalti. Pengadil oh pengadil.

Doni pun terkena juga "MERAH" padam
Tetapi pasukan yang selalu mendapat keuntungan dan sering mendapat advantage dari keputusan pengadil sudah tentulah pasukan Manchester United. Bukan sekali dua, malah banyak perlawanan yang membabitkan mereka keputusan pengadil akan berpihak kepadanya. Terbaru perlawanan mereka ketika menentang QPR Ahad lalu. Abas Saad sendiri yang menjadi pengulas di ESPN telah menyatakan tidak puas hatinya apabila gol pasukan Manchester United yang memang terang Rooney offside dikira oleh Lee Mason tanpa rasa bersalah. Mungkin kita tidak terlalu menyalahkan pengadil sangat, kerana posisi offside ini adalah keputusan penjaga garisan. Apa yang dibuat oleh penjaga garisan. Mengurat awek yang jadi penonton ke. Jadi kalau berkenaan pasukan Manchester United ni, bukan sahaja Lee Mason, malah sebelum ini Howard Webb juga telah dianggap sebagai pemain ke-12 Manchester United didalam padang. Bayangkanlah keuntungan yang pasukan mereka perolehi.

Pakar curi ayam "Rooney" berjaya menggelapkan pandangan linesman.
Persoalannya, bilakah pengadil2 bolasepak ini boleh dipercayai semula. Dengan mutu pengadilan yang agak teruk, perlukah Dalglish sekali lagi membuat membuat kenyataan mencabar seperti yang beliau lakukan terhadap Mark Clattenberg pada perlawanan menentang Stoke City pada awal musim lalu. Semoga FA England dapat memantau dan memperbaiki lagi mutu pengadilan untuk menjamin perlawanan yang bersih tanpa ada syak wasangka dari mana2 pasukan yang bertanding.

-SG-

Blackburn 2-3 Liverpool

Written By peminat liverpool on Rabu, 11 April 2012 | 12:13 PTG

Disebalik kesengsaraan pemain2 Liverpool bermain 10 orang selama 65 minit, akhirnya Adrew Carroll muncul sebagai wira apabila berjaya menjaringkan gol kemenangan di minit2 terakhir perlawanan ketika menentang Blackburn awal pagi tadi. Kemenangan 2-3 yang cukup berharga bagi Liverpool untuk menaikkan lagi moral menjelang perlawanan separuh akhir piala FA Sabtu nanti.

Seperti yang saya katakan pada preview sebelum ini, Dalglish telah menurunkan kesebelasan pemain2 simpanan yang majoritinya dikuasai oleh tenaga muda. Flanagan, Coates, Spearing, Shelvey, Henderson dan Carroll adalah pemain2 muda yang telah membalas kepercayaan yang diberi untuk meraih kemenangan. Dengan ketiadaan Gerrard, Suarez, Kuyt dan Downing yang direhatkan sebenarnya tiada masalah bagi pemain2 muda ini membuktikan kemampuan mereka.


Liverpool berjaya mendahului 2 gol melalui jaringan Maxi Rodriguez seawal minit ke 13 dan 16. Gol pertama bermula dari gerakan balas yang pantas dicipta oleh Bellamy sebelum menghantar bola kepada Maxi untuk disudahkan. Gol kedua pula berpunca dari gerakan Shelvey yang cuba membuat percubaan sebelum terhalang. Bagaimanapun bola tersebut pantas disambar oleh Carroll untuk menyusuli percubaan kedua tetapi bola berkenaan terus tiba dihadapan Maxi untuk beliau juga menyudahkannya.


Seperti malang Liverpool akan bermula, Doni yang cuba menyelamatkan bola,  dilayangkan kad merah akibat terjahannya terhadap David Hoilett dalam kotak penalti. Keadaan ini berpunca apabila Flanagan gagal menghantar kemas bola kepada Doni sebelum disambar oleh Yakubu. Dlaglish terpaksa mengeluarkan Flanagan untuk digantikan Brad Jones. Kemunculan Jones berjaya menangkap kemas sepakan penalti Yakubu untuk mengekalkan kedudukan 0-2. Walaubagaimanapun Yakubu berjaya menebus kegagalan tersebut apabila berjaya menanduk masuk untuk menjadikan kedudukan 1-2 pada minit ke 36.

Separuh masa kedua, Blackburn terus menggunakan kesempatan menentang pasukan yang bermain 10 orang ini dengan mencipta beberapa serangan merbahaya. Hasilnya kesilapan Brad Jones yang gagal menyepak kemas bola terkena badan Yakubu sebelum diselamatkan kembali olehnya dari masuk gawang. Tetapi ia tidak habis disitu, dalam keadaan kelam kabut, Brad Jones pula dipersalahkan oleh pengadil kerana menolak Yakubu untuk memberikan Blackburn penalti kedua. Kali ini Yakubu tidak mempersiakan sepakan tersebut untuk menyamakan kedudukan 2-2.


Disaat perlawanan bakal berkeputusan seri, Andrew Carroll muncul menjadi wira apabila berjaya membuat tandukan terbang untuk menewaskan Robinson. Gerakan yang dimulakan oleh Coates di tengah padang terus menghantar bola kepada Agger dalam kotak penalti untuk membuat tandukan tipis sebelum disambung oleh Carroll. Begitulah semangat tenaga2 muda kita yang sukar dimiliki oleh pemain2 senior ketika ini. Sikap beginilah yang sepatutnya dicontohi oleh pemain senior menjelang pertemuan dengan Everton nanti.


Diharap dalam menghabiskan sisa2 perlawanan liga nanti, Dalglish akan terus menurunkan pemain2 muda ini untuk persiapan pasukan menjelang musim baru nanti. YNWA...

-SG-

Lagenda Budak Merah - Bahagian 8

Written By peminat liverpool on Selasa, 10 April 2012 | 11:24 PTG

Salam dan selamat sejahtera. Seperti biasa, aku menyediakan sambungan cerita LBM untuk pengunjung-pengunjung setia blog ni. Lupakan perlawanan menentang Arsenal sebelum ini. Menang kalah adat perlawanan dan setiap perlawanan bola sepak tidak boleh dijangka dengan tepat. Sehebat-hebat pasukan seperti Bacelona pun pernah tewas dan pernah seri. Sehebat-hebat pemain seperti Messi pun pernah menghampakan. Jadi tak guna bergaduh sesama sendiri memikirkan sebab semuanya terjadi. Lebih elok kita berbaik-baik dan tunggu sahaja perlawanan seterusnya seperti yang kita buat sebelum ni. Ingat, bola sepak untuk menyatukan. Satu dunia faham apa itu goal, foul dan lain-lain bahasa bola sepak yang menyatukan mereka dengan peminat lain seluruh dunia. Jangan kerana bola sepak kita satu negara bergaduh. Kepada yang terlepas bahagian-bahagian sebelum ini boleh ke pautan di bawah atau klik sahaja LBM di bahagian menu atas.
Steven bermain untuk England pada tahun 2000 (Kredit : holymoly.com)
Bermain untuk England merupakan salah satu impian Steven. Sewaktu kecil dia sering berlari di Ironside dengan baju Gazzanya, menggelecek melepasi budak-budak Huyton dan merembat bola antara dua tong sampah. Dia sering membayangkan golnya itu sebagai gol di Piala Dunia. Gol yang membawa trofi itu ke England. Dia sering membayangkan penonton menjerit dan bersorak “Gerrard! Gerrard!” Dia mahu memakai baju England dengan logo 3 ekor Singa di bahagian dadanya. Tetapi kariernya dengan England mempunyai banyak halangan. Dia berusaha dengan keras untuk sampai ketahapnya sekarang.

Halangan yang pertama adalah Lilleshall. Seperti yang aku dah ceritakan sebelum ni, Lilleshall tidak memilih Steven untuk pasukan bawah 15 tahun. Tetapi setahun selepas itu, selepas dia mengerjakan pemain-pemain Lilleshall di Melwood, dia dipanggil untuk skuad bawah 16 tahun. Penampilan sulungnya adalah ketika England menang 4-0 menentang Denmark pada 3 Februari 1996. Dia masuk sebagai pemain gantian. 17 hari selepas itu, dia mendapat tempat dalam pasukan utama menentang Ireland di Lilleshall. Antara pemain yang bermain untuk Ireland ketika itu ialah Richard Dunne yang sekarang berada di Aston Villa dan Steve McPhail yang pernah bermain untuk Leeds. England pula menurunkan pemain seperti Wes Brown dan Michael Ball yang cemerlang di bahagian pertahanan ketika itu. Steven menjaringkan gol pertama England. England menang 2-1 tapi Steven tahu dia tidak bermain dengan baik. McPhail lebih hebat daripadanya ketika itu.Tapi dia berpuas hati kerana England menang dalam perlawanan penuh pertamanya.

Pada tahun 1996 Steven bersorak untuk England di Euro 96 dari rumahnya sahaja di estet Bluebell. Dia bersorak untuk Shearer, Gazza dan Sheringham. Dia mahu berada di sana. Tapi dia baru sahaja masuk 16 tahun. Dia terdesak untuk bermain dengan England. Steven meneruskan latihan bersama England. Dia memanjat tangga umur England dengan stabil. Fizikalnya semakin besar dan teknikalnya semakin berkembang. Sampai waktu untuk France 98. Dia duduk di hadapan televisyen untuk melihat rakannya Michael Owen menakluk dunia. Sebenarnya sebelum Piala Dunia di Perancis itu, nama Michael Owen telah disebut-sebut oleh media sebagai salah seorang yang akan dibawa oleh Glenn Hoddle. Steven bukan sahaja menyokong kerana mereka merupakan sahabat di Liverpool. Tapi bagi Steven, sekiranya Michael boleh bermain dengan pemain England, dia juga boleh melakukannya. Aku masih ingat lagi perlawanan menentang Argentina. Michael buat pemain Argentina macam budak sekolah. Dia berlari dan terus berlari sehingga dia hanya berhadapan dengan penjaga gol. Waktu tu nampak macam Scholes akan menolak masuk bola itu tapi tiada peluang. Michael bersungguh mahu menyudahkan gerakan yang dia mulakan.


Bila tengok balik video ni aku cuba bayangkan perasaan Steven. Bayangkan budak berusia 18 tahun bermain untuk England. Menjaringkan gol dan dipeluk oleh pemain seperti Shearer dan Beckham. Kejayaan Michael ini membuatkan Steven semakin percaya yang dia akan berjaya. Satu nama yang penting dalam perjalanan kariernya dengan England adalah Howard Wilkinson yang merupakan Pengarah teknikal FA waktu itu. Dia selalu memilih Steven untuk pasukan B-18 dan B-21 tahun. Dia jugalah yang menjadikan Steven kapten untuk pasukan B-18. Waktu dia mendengar berita yang Wilkinson akan menjadi pengurus England B-21 dia mula terbayang dirinya mendapat panggilan bermain untuk pasukan itu. Dan dia tidak silap. Pada penghujung musim panas 1999 dia mendapat surat arahan lapor diri untuk tugas England B-21 menentang Luxembourg. Dia yakin Wilkinson mempercayainya kerana dia diletakkan di bahagian tengah. Posisi yang diminatinya. Dia membalas kepercayaan Wilkinson dengan menjaringkan gol pertama pada minit ke-12. England menang 5-0 dalam perlawanan itu!

Semua pemain di England waktu itu tahu yang musim 2000 berakhir dengan Euro dan semua pemain muda yang bercita-cita tinggi ingin mendapat tempat dalam skuad Kevin Keegan. Setiap kali Keegan dalam kotak pengarah di stadium, semua pemain sedar yang mereka perlu melakukan yang terbaik. Steven juga sedar. Keegan memerhatikannya ketika Liverpool menang 2-0 keatas Coventry. Dia juga disana sewaktu England B-21 menentang Denmark. Steven bermain dengan cemerlang pada musim 1999/2000. Dia mendapat gol senior pertamanya menentang Sheffield Wednesday. Dia juga bermain pelbagai posisi musim itu. Bek kanan, bek kiri, sayap kanan dan bahagian tengah. Tiada masalah baginya. Sewaktu liverpool mengalahkan Leeds 3-1 dia menggunakan sepenuh tenaganya menjaga dan menghalang Harry Kewell. Seorang pemain yang licik dan lincah. Aku pasti ramai yang masih ingat Harry walaupun sewaktu dia bermain untuk liverpool dia tidak sehebat dahulu. Seminggu selepas Leeds, Steven mengumpan Titi Camara untuk gol menentang Arsenal di Highbury (Stadium lama Arsenal). Ljungberg hampir menjaringkan gol dalam perlawanan itu tapi Steven berjaya menghalangnya setelah Ljungberg berjaya melepasi Westerveld, penjaga gol Liverpool waktu itu.

Gol pertama Steven

Hantaran cantik Steven untuk Camara (maaf kualiti teruk, kalau jumpa yang ok bagitahu aku ye)

Seminggu selepas itu ayahnya memanggil. “Pergi dapatkan Steve Heighway dan Gerard Houllier. Ada perkara mereka nak beritahu” Steven cuak. Tertanya-tanya. Dia terus menelefon Steve. “Kevin Keegan mahu awak berlatih bersama England sebelum perlawanan menentang Argentina”. Dia tidak percaya apa yang didengarnya. Berlatih dengan England? Gerard kemudian mengesahkan berita itu. “Tapi ingat Steven, kamu belum dipilih ke dalam skuad England lagi, cuma kamu akan berlatih dengan mereka”. Tidak bagi Steven. Dia rasa dia sudah berada dalam skuad England. Dia akan gunakan peluang ini untuk meyakinkan Keegan untuk memilihnya untuk perlawanan menentang Argentina nanti. England menawarkan untuk mengambil Steven untuk dibawa ke hotel pasukan England di Burnham Beeches tapi dia menolak. Dia sangat gugup. Dia memandu kereta Honda yang dipinjamkan bapanya. Sewaktu memandu dia mula memikirkan yang bukan-bukan. Dia rasa dia tak layak untuk England. Dia mahu pusing balik ke Liverpool. Steve Heighway boleh telefon Keegan untuk minta maaf sebab Steven Gerrard belum sedia untuk England. Tapi dia teruskan perjalanan. Dia perlu mengawal paniknya. “Baiklah, pandu masuk kawasan hotel, jangan langgar kereta mahal, pergi ke kaunter dan kemudian terus ke bilik”. Katanya dalam hati.

Dia berjaya! Dia kini duduk di hujung katilnya. Dia harus melapor diri kepada Keegan di ruang makan. Sekali lagi dia panik. Dia tak rasa dia boleh berjalan masuk ke ruang makan yang penuh dengan heronya sepeti Alan Shearer, Tony Adams dan David Beckham. Macamana seorang budak baru dari Liverpool boleh masuk dan dengan tenang duduk di sebelah David Beckham, nama yang dikenali di seluruh dunia? Dia nekad. Dia menelefon Jamie Redknapp untuk mengambilnya di atas. Jamie dengan senyap dan pantas pergi ke bilik Steven. “Jom. Keegan takkan panggil kalau dia tak rasa kau layak” Steven turun dengan pemain Liverpool yang lain. Robbie (Fowler), Macca (Steve McManaman) dan Michael (Owen). Tanpa mereka Steven pasti tak turun. “Hai Steven. “Selamat Datang ke England!” Ucap Keegan apabila dia melihat Steven. Mereka bersalam dan kemudian dia bangun. “Kamu semua..berhenti makan sekejap”. Dia menuding ke arah Steven. “Ini Steven Gerrard. Budak ini akan berlatih bersama kita. Dia seorang pemain. Jangan main baik dengannya kerana dia sudah pasti takkan main baik dengan kamu”. Muka Steven waktu tu semerah baju Liverpool. Dia dapat rasa semua pemain England sedang memandangnya.

Dia kemudiannya duduk bersama pemain Liverpool yang lain. Dia pernah dengar yang pemain duduk dalam klik mereka sewaktu dalam kem England. Ternyata memang benar. Mereka semua duduk mengikut kelab. Steven kemudiannya diperkenalkan kepada pemain lain oleh rakan-rakan Liverpoolnya. Pertama sekali David Seaman. kemudian Sol Campbell. Aku masih ingat Sol Campbell. Antara pemain pertahanan yang hebat untuk England. Dulu waktu aku main game Football manager atau Championship Manager Sol Campbell merupakan salah satu pemain pertahanan yang boleh halang Ronaldo! Bukan Cristiano…Ronaldo yang sebenar. Meja terakhir yang Steven lawati adalah meja pemain Manchester United. Phil Neville, Paul Scholes, Andy Cole dan David Beckham memandang dan senyum kepadanya. Apa yang terjadi? Dia tak faham. Mereka sepatutnya menjadi musuh untuk pemain dari Liverpool. Di Huyton dia dibesarkan untuk membenci Manchester United. Semua yang berkenaan. Termasuklah pengurus kedai di sana sekali pun. Tapi waktu tu semuanya hilang sewaktu bersalaman dengan pemain-pemain MU. Dia mula berasa seronok di kem England. Seterusnya, LATIHAN bersama England. Tapi sampai sini dulu bahagian kali ni. Tunggu sambungan minggu depan ye.

Sambungan ke Lagenda Budak Merah - Bahagian 9








Credit untuk : redderscreepers

Lagenda Budak Merah - Bahagian 7

Salam dan selamat sejahtera. Terima kasih sebab sudi singgah di blog ni sekali lagi. Aku masih lagi mengantuk dan seronok penangan tengok kemenangan Liverpool di D’Stall Corner Ahad lepas. Tapi memang berbaloi. Minggu lepas aku dah kongsikan cerita perlawanan-perlawanan awal Steven Gerrard dalam kerjayanya di Liverpool. Kepada yang terlepas bahagian-bahagian sebelum ni boleh klik pautan di bawah atau klik LBM di menu bahagian atas blog ini.

Gerrard sewaktu berumur 18 tahun

Gazza muda-muda dulu
Kali ni aku nak ceritakan tentang pemain yang jadi idola untuk Steven, Paul Gascoigne yang dikenali dengan nama Gazza. Biasanya bila sebut tentang idola, kita tahu yang seseorang itu mesti terpengaruh dengan gaya atau personaliti seseorang yang mereka minati. Sama juga dengan Steven. Sebab itu aku buat keputusan untuk ceritakan kisah ini. Supaya kita tahu dari mana terbentuknya Steven Gerrard, kapten Liverpool sekarang. Kali pertama Steven berjumpa dengan Gazza adalah pada tahun 1999 ketika menentang Middlesborough di Anfield. kali pertama mereka bertembung dan Gazza menghadiahkan siku untuk Steven. Tepat ke soket mata kirinya. Waktu itu perlawanan baru berlangsung selama 36 saat dan dia belum sempat menyentuh bola pun. Sampai sekarang dia masih tidak tahu kenapa. mungkin kerana Gazza dengar orang kata yang dia bakal jadi pemain England dan mahu mengingatkan Steven tentang tempatnya sebagai pendatang baru. Atau mungkin sebagai hadiah sempena kedatangan ke dunia sebenar.

Kali berikutnya Gazza mendapat bola, Steven berlari sekuat hati. Dia mahu buat terjahan. Tak berjaya. Steven tak berjaya untuk mendekatinya pun. “Mengejar Gazza bagaikan mengejar hantu” Kata Steven menggambarkan keadaannya ketika itu. Kali kedua dia berjaya mendapatkan bola. kali ini Gazza pula mengejarnya. Dia mengejarnya dengan laju. Steevn cuba meloloskan bola dicelah kaki Gazza. Dia masih merasakan dirinya gila waktu itu kerana cuba untuk melepasi pemain England paling berkemahiran dengan cara itu. “Duduk diam-diam! Apa kau nak buat ha?!” Jerit Gazza kepada Steven. Tetapi selepas perlawanan dia mendekati Steven. Dia menggosok kepala Steven dan meletakkan tangan di bahunya. “Kau pemain yang bagus. Teruskan.” Bayangkan seseorang seperti Gazza memuji seorang pemain berumur 19 tahun yang merupakan pemain pilihan ke-3 utnuk posisinya ketika itu. Mesti Steven bangga gila waktu tu.

Steven menganggap lebam dimatanya ibarat medal yang dimenangi dari pertempuran. Dia inginkan satu lagi kenangan dari Gazza. Bajunya. Tapi dia takut. Mungkin kerana Gazza telah menyiku matanya dia akan disuruh berambus dari situ. Dia takut untuk bertanya. Dia berasa pelik untuk meminta baju orang selepas menghabiskan 90 minit untuk mengejar dan menerjah orang itu. Steven membesar atas kegemilangan Gazza. Dia membaca buku Gazza. Dia membeli baju England Gazza. Antara barang paling berharga miliknya ialah video Gascoigne’s Glory. Dia telah menonton video itu berjuta kali. Waktu awal penampilannya untuk Liverpool, ramai yang menganggap Steven sebagai seorang pemain tengah bertahan. Tapi setiap kali latihan dia cuba menjadi Gazza. Sekarang dia lebih Gazza dari waktu dia bermula dulu. Dia mungkin tak sehebat Gazza dari segi kemahiran tapi dia ada sesuatu yang Gazza tak ada seperti ketahanan.

Sewaktu mereka bertembung di Anfield karier Gazza sedang menurun. Sangat sedih apabila mengenangkan karier seseorang yang istimewa sepertinya merudum. Tetapi dia cuba mengingati semua yang baik tentang Gazza. Cara dia melepaskan diri dari orang yang menjaganya. Cara dia menggelecek bola dan gol-gol hebatnya. Antaranya ialah rembatan padu maut! OK…ini antara trait yang diwarisi oleh Steven dari Gazza. Suka hati je aku nak mewariskan kemahiran orang ke orang lain kan? Tapi serius…persamaan dua pemain ni memang boleh nampak.

Sepakan percuma Gazza (Minit ke 2:15)

Sepakan percuma Steven

Satu lagi adalah ketika Gazza menjaringkan gol menentang Scotland dalam Euro 96. Dia mempunyai kawalan bola, sentuhan dan penyudah yang sangat hebat mengikut Steven. Dia seorang genius. Seorang genius yang pelik. Steven tak pernah percaya semua berita buruk yang pernah dia dengar berkenaan Gazza kerana dia terlalu meminatinya.


Video dokumentari pendek Gazza.

Wiki Gazza

OK. Aku tau kali ni aku lebih banyak kongsi kisah dan video Gazza berbanding Steven. Tapi untuk kenal Steven kita kena kenal sumber inspirasi dia. Gaya permainan orang yang dia sanjungi. Kalau korang cari lagi video-video Gazza korang akan nampak persamaan-persamaan mereka. Mungkin ada antara ahli keluarga korang yang lebih tua dari aku pernah tengok Gazza main dan boleh jelaskan kenapa Gazza sangat istimewa. Boleh tanya ahli keluarga masing-masing dan mungkin ada cerita menarik untuk korang. Tak ada apa yang lebih menarik dari berbual berkenaan bola sepak dengan ahli keluarga sendiri terutamanya dengan ayah sendiri jadi tutup browser internet dan habiskan masa dengan ahli keluarga korang sekarang  Sekian dulu untuk kali ni. Jumpa lagi minggu depan. YNWA.

Sambungan ke Lagenda Budak Merah - Bahagian 8









Credit untuk : redderscreepers

Lagenda Budak Merah - Bahagian 6

Salam dan selamat sejahtera. Minggu ni seperti yang aku janjikan, sambungan kepada cerita Lagenda Budak Merah Bahagian 5 dimana Steven secara rasminya melapor diri di melwood. Kepada yang tertinggal bahagian-bahagian yang lepas, boleh klik pautan di bawah atau klik pada LBM di bahagian menu di atas. Selamat membaca.

Steven sewaktu berusia 18 tahun


Steven dan hari pertama di Melwood

Hari ini merupakan hari pertama Steven di Melwood. Dia dan Wrighty tercegat di depan pintu bilik persalinan. Dia menarik nafas panjang mengumpul kekuatan untuk membuka pintu. Mereka melangkah masuk. Kosong! “Wrighty, mereka tak tahu pun kita datang harini!” Steven kecewa. Hanya pengurus pakaian Liverpool yang sudah berada di situ. Pakaian latihan untuk setiap pemain telah disiapkan di tempat mereka. Steven dan Wrighty melihat-lihat kalau ada pakaian untuk mereka. Hampa. “Rasa macam penceroboh!” Kata Steven menggambarkan perasaannya waktu itu.

Sebaik sahaja mereka bertekad untuk keluar pintu dibuka dan semua bintang Liverpool mula masuk. Jamie Redknapp, Steve McManaman(Macca) dan Robbie Fowler. Steven gembira dan bersyukur melihat muka-muka yang dikenalinya. “Korang di sini secara kekal sekarang? ” tanya Jamie. “Bagus-bagus” kata Macca pula sambil tergelak. “Dah sampai masa pun!” Sambungnya. “Bukan agak lambat ke korang?” celah Robbie pula. Steven dan Wrighty semakin tenang. Mungkin mereka sebenarnya tahu kita datang harini. Bisik Steven dalam hati. “Ambil baju duduk sebelah aku” kata Jamie. “Aku dah tiba!” katanya dalam hati sambil dia duduk di sebelah pemain terkenal England itu. Tapi seorang jurulatih mengarahkannya duduk di hujung bilik. Bersama pemain-pemain yang jarang bermain, pemain berusia dan pemain muda yang lain tapi dia tidak kisah bersesak-sesak di bilik persalinan kerana yang penting adalah di atas padang.

Latihan dimulakan dengan semua pemain berdiri dalam bulatan. “Mereka di sini sekarang. Saya membawa mereka dari akademi” Sambil menunjuk Stevie dan Wrighty. Itu sahaja dan mereka terus berlatih..huhu..ringkas amat. Steven yang risau latihan terlalu ketat seronok berlatih dengan Houllier. Latihan corak permainan dan perlawanan latihan sangat menyeronokkan kata Stevie. Dia menyangkal dakwaan yang latihan Houllier sangat ketat. Selepas latihan Houllier memanggil mereka berdua. “Di sini semuanya bermula. Kami tak puas hati dengan rupa kamu. Kami mahu kamu lebih besar dan kuat. Lihat semua pemain lain. Mereka lebih besar daripada kamu. Kamu mesti sampai ke tahap mereka. Kami akan meletakkan kamu dalam rejim yang lain. Jangan merungut. Sekiranya kami menyuruh kamu balik lewat atau sampai awal pastikan kamu buat. Minum apa yang kami suruh. Makan apa yang kami suruh. Kami mahu kamu bersedia secara fizikalnya untuk pasukan utama” nasihat Houllier panjang lebar.

Steven dan Piala UEFA

Steven mendapat pengalaman pertamanya ke perlawanan Piala UEFA ketika Houllier membawanya ke Spain untuk pusingan ke-3 menentang Celta Vigo pada 23 November 1998. Tapi Steven yakin dia hanya ke sana untuk menolong mengemas pakaian atau hanya duduk di tempat penonton sahaja. Jangkaannya meleset. Sebaik tiba di biliknya, dia lihat ada baju Liverpool dengan namanya dan nombor 28. Dia kini sebahagian daripada Liverpool! Dia dan Wrighty dinamakan sebagai pemain simpanan memandangkan kelab dibenarkan untuk menamakan 7 orang pemain simpanan dalam kejohanan itu. Tapi dia dan Wrighty tidak berpeluang pun beraksi di atas padang. Liverpool diajar cara mengekalkan bola dalam kawalan malam itu. Antara pemain yang bermain ketika itu adalah Claude Makelele, Valeri karpin dan Alexander Mostovoi. Liverpool kalah 3-1 tapi pengalaman yang Stevie dan Wrighty dapat malam itu sangat berharga.

Steven dan penampilan pertama untuk Liverpool

Dalam sesi latihan pertama setelah kembali dari Spain, Steven mengerahkan sepenuh tenaganya. Paul Ince sangat bengang dengannya ketika itu kerana dia tak berpeluang langsung mendekati Steven. mengikut Steven, Paul Ince merupakan seorang yang kurang berminat dengan latihan dan lebih suka kepada perlawanan. Tapi dia boleh menunjukkan ‘minatn’ya bila-bila masa yang dia rasa perlu. Contohnya sewaktu dengan Steven. Steven turun untuk membuktikan sesuatu jadi ince menaikkan tahap permainannya. Tapi dia masih tak dapat menyentuh Steven. Jadi pemain lain mula menyakatnya. “Habislah karier kau Incey!” Jerit Fowler. “Jaga-jaga!” Ejek Jamie pula. Steven bukan menunjuk-nunjuk waktu itu. Dia hanya melakukan apa yang dirasakan betul.

Usahanya tak sia-sia. Houllier memasukkannya dalam senarai 18 untuk menentang Blackburn. 2 orang pemain akhirnya ditinggalkan dan dia dimasukkan ke bangku simpanan! Houllier memilihnya kerana dia boleh bermain beberapa posisi. Pemain tengah, sayap kanan dan bek kanan. Dia masih ingat perlawanan pertamanya di Anfield itu. Berbaris di koridor. Menyentuh tanda “This is Anfield” sebelum masuk ke padang. dan bunyi sorakan 41,753 orang penyokong yang memekakkan telinganya (sesiapa yang pergi Liverpool Asia Tour mesti tahu suasana ni kan?). Perlawanan tinggal 5 minit dan Liverpool mendahului 2-0 hasil jaringan Ince dan Owen. “Aku takkan masuk. Selamat!” Tiba-tiba Phil Thompson berpusing kearahnya.” Pergi panaskan badan!”. Dia akhirnya masuk menggantikan Vegard Heggem di posisi bek kanan. Bola sampai kepadanya. Dia tahan. Hantar kepada rakan berhampiran. Lega. Kemudian serangan bertukar kesebelah kanan dan Ince memberikannya bola. Dia cuba hantar ketengah. Tinggi! Merah padam mukanya waktu tu kerana 41,753 orang sedang menyaksikan bola yang melambung melepasi semua pemain. Nasib baik Liverpool menang..heheh.  ”Tahniah. Kau dah main untuk Liverpool!” Ucap Wrighty.

Siapa sangka budak kurus yang buat cross melambung tinggi waktu perlawanan pertamanya ini akan jadi seorang Lagenda Liverpool? Harap-harap perlawanan lawan Cardiff ahad ni jadi satu lagi highlight dalam karier dia.

Sambungan ke Lagenda Budak Merah - Bahagian 7








Credit untuk : redderscreepers

Lagenda Budak Merah - Bahagian 5

Salam dan selamat sejahtera. Harap semua yang masih sudi singgah di blog ini sihat-sihat semuanya. Kita lupakan semua cerita tak seronok Liverpool minggu lepas. Kita ada perlawanan Piala FA pusingan ke-5 menentang Brighton Isnin nanti dan perlawanan akhir Piala Liga di Wembley 26 Februrari nanti. Jadi sementara itu aku nak kongsi kisah Steven Gerrard dan pengalaman awalnya dengan Houllier. Untuk yang terlepas kisah Steven sebelum ini, boleh kunjungi pautan di bawah.

Steven Gerrard dan Gerard Houllier (Sumber : Getty Image)


Untuk yang tak tahu atau terlupa, Houllier merupakan pengurus Liverpool dari tahun 1998 sehingga 2004. Pada tahun 1998 dia merupakan jurulatih bersama dengan Roy Evans sebelum mengambilalih sepenuhnya tugas kejurulatihan. Menurut Steven, Houllier merupakan orang yang bertanggungjawab menukarnya dari seorang budak lelaki kepada seorang lelaki dewasa dalam dunia bola sepak. Tapi ada kenyataan Houllier yang tidak berapa tepat tentang Steven. Sewaktu melakukan temuramah untuk majalah FourFourTwo, dia mengatakan dia yang menarik Steven dari akademi ketika tiada siapa yang tahu tentangnya. Steven merasakan ayat itu seolah-olah memberikan semua kredit kepada Houllier sedangkan dia sudah dijaga dari kecil oleh Steve Heighway, Dave Shannon dan Hughie McAuley. Dia juga berkata yang dia telah menyelamatkan Steven dari pasukan simpanan Liverpool dan Steven merasakan itu suatu penghinaan kepada Roy. Roy tahu tentang Steven dan kemampuannya sebelum Houllier sampai pada 1998 lagi.

Temu ramah Houllier bersama FourFourTwo

Steven menghargai semua yang telah dilakukan oleh houllier. Dia memang banyak membantu dan dialah yang memberinya peluang untuk bermain dalam pasukan utama Liverpool. Tapi dia mahu buang segala anggapan yang dia tak akan Berjaya tanpa Houllier. Dia Berjaya dengan usahanya, bantuan semua jurulatih Liverpool terutamanya di akademi dan kasih sayang ibu bapanya. Houllier hanya membuka pintu untuk masuk ke pasukan utama setelah dia “mengetuk pintu itu dengan kuat”(berusaha bersungguh-sungguh). Dia telahpun dikenali sebelum Houllier sampai. Dia merupakan kapten pasukan England B-18 dan Roy telah memberikan dia kontrak 3 tahun bersama Liverpool sebelum Houllier datang.

Suatu hari, Steve Heighway memanggil Steven masuk ke pejabat dan memberitahunya yang Houllier, Sammy Lee, Phil Thompson dan Patrice Bergues akan datang dari Melwood. Tapi pada hari latihan tersebut hanya Sammy dan Patrice yang datang. Mereka berlatih selama 1 jam 45 minit. Steven berusaha keras menunjukkan kemampuannya. Dia mendapatkan semua bola, membuat terjahan paling keras dan merembat paling kuat. Selepas latihan dia diperkenalkan dengan Patrice, orang kanan Houllier. Mereka bersalam. “Awak nampak mantap”. Stevie gembira. Namun dia tahu, dia masih perlu menunjukkan kemampuannya kepada Houllier. Dia mendapat peluang tersebut beberapa minggu selepas itu ketika perlawanan B-19 menentang Manchester United!

Boggo dan greggo turut bermain dalam perlawanan tersebut. Ayahnya juga hadir memberikan sokongan padu. Staf Liverpool yang biasa juga berada disitu dengan Houllier. Steven tidak tahu yang ketika itu Houllier datang untuk melihat Richie Partridge, pemain sayap dari Ireland. Steven menyangkakan Houllier hanya datang untuknya jadi dia menguasai perlawanan itu. Dia bermain dengan sangat aggresif sehingga pengadil memberikan amaran kepadanya. “Sekali lagi dan awak akan dibuang padang!” Mereka seri 1-1 dalam perlawanan itu. Steven menjaringkan gol. Dia berasa bangga. Dia melihat keliling selepas perlawanan namun Houllier telah pergi. Hanya pada Hari Rabu minggu hadapannya Steven terserempak dengan Roy dan Houllier. Roy sedang mengucapkan selamat jalan waktu itu. “Teruskan usaha, awak ada peluang yang baik untuk berjaya” Pesan Roy. “Ya, peluang yang sangat baik” Celah Houllier.


Dua hari kemudian, pada Hari Jumaat, Stevie dan Wrighty dipanggil ke pejabat. “Phil dan Gerard mahu kamu berdua di Melwood. Mereka mahu letakkan kamu dalam satu program dan berlatih dengan pasukan utama ”. Mereka berpandangan. Teruja. Kemudian Steve memberikan mereka nasihat yang paling berharga. “Jangan lupa dari mana kamu datang. Jangan lupa apa yang kami dah buat untuk kamu dan kami masih di sini untuk kamu. Kami tak mahu kamu berubah. Sentiasa rendah diri. Jangan besar kepala. Kamu akan meninggalkan kawan baik kamu di sini, jadi jangan lupa datang berjumpa mereka.” Setelah dia pulang kerumah bapanya bertanya kepadanya “Ada apa?” kerana ayahnya Nampak sesuatu dari matanya.”Saya di Melwood sekarang!”. Ayahnya sangat bangga. “Di sini semuanya bermula!” Kata ayahnya. “Ingat, kamu belum capai apa-apa. Ingat tempat kamu dimana tapi capai peluang yang ada.

Steven dan kawannya Wrighty sampai sangat awal pada hari pertama mereka. Pintu pagar besi di Melwood telah pun terbuka namun hanya ada beberapa kereta sahaja. Mereka berjalan berhati-hati ke bilik persalinan. Mereka terpaku sebentar di luar…disinilah segala-galanya bermula untuk Steven dan Liverpool.

Apa yang terjadi waktu hari pertama mereka di melwood? Adakah Houllier jurulatih yang bagus? Adakah Stevie setanding dengan semua pemain yang sedia ada? Jangan lupa untuk singgah di sini minggu hadapan untuk sambungan cerita ini. Bahagian ini agak panjang jadi aku pecahkan kepada 2 bahagian. Kalau tak mahu terlepas, boleh langgan RSS, ikut aku di Twitter dan LIKE laman ReddersCreepers di Facebook

Senarai semua pengurus Liverpool


Sambungan ke Lagenda Budak Merah - Bahagian 6








Credit untuk : redderscreepers

Lagenda Budak Merah - Bahagian 4

Salam dan selamat sejahtera. Minggu ni merupakan minggu ke-4 slot Lagenda Budak Merah mengisi ruangan blog aku ni. Alhamdulillah ramai juga yang sambut baik usaha aku untuk kongsikan kisah hidup Steven Gerrard ni. Untuk yang berminat boleh dapatkan di MPH atau mana-mana kedai buku yang besar. Kalau korang rasa tak sedap cerita ni mungkin sebab aku tak berapa mahir olah cerita dia…bukan sebab buku ni tak menarik. Serius.  Aku akan cuba baiki cara penulisan aku dari sehari ke sehari. Kepada yang terlepas bahagian-bahagian sebelum ni boleh klik link di bawah.
Aku sambung sikit cerita Steven dan permulaannya di Liverpool. Pada penghujung musim B-16 tahun, semua pemain akan masuk ke pejabat untuk mengetahui nasib mereka samada mendapat kontrak YTS (Youth Trainee Scheme) atau tidak. Steven tak perlu masuk pun kerana dia dah tahu lebih awal. Dia dah buat perjanjian dengan Steve Heighway berkenaan kontraknya. £50 seminggu. Banyak tu!!! Untuk budak  berumur 17 tahun dapat lebih kurang RM1000 sebulan..Perggh! Lebih-lebih lagi dibayar untuk buat benda yang memang jadi minat sejak kecil.

Sewaktu tahun awalnya di Liverpool sebagai pelatih, dia mempunyai beberapa orang kawan iaitu John Boggan (Boggo), Neil Gregson (Greggo), Ian Dunbavin (Bavo), Stephen Wright (Wrighty), Matty Cass (Cass) dan Michael Owen. Memandangkan akademi baru di Kirkby belum siap waktu, mereka menghabiskan 12 bulan pertama mereka di Melwood. Jadi hari-hari mereka melihat bintang pujaan mereka berlatih di Melwood. Salah satu tugas pelatih adalah tunggu di luar bilik persalinan untuk mendapatkan tandatangan pemain atas baju, bola atau gambar untuk dihantar ke hospital atau jualan amal. Bayangkan kalau kita dapat bersua dengan Fowler…McManaman…John Barnes…huhu..mau gigil lutut aku. Tapi kali ni aku nak bercerita tentang tradisi mereka-mereka yang bergelar budak YTS.

Aku rasa ramai yang tahu apa kan jadi apabila sekumpulan budak lelaki berumur 16/17 tahun duduk bersama. Ya. Sama seperti situasi di asrama, mereka banyak membuat kecoh di Melwood. Steven biasanya menutup lampu bilik persalinan dan semua faham dengan sendiri yang peperangan akan bermula. Mereka mula memukul satu sama lain dengan tuala. Mereka juga pernah menyerang hendap seorang staf di situ iaitu Don yang berusia hampir 50 tahun. Sebaik sahaja dia masuk, mereka akan memadam lampu dan mula membaling tuala, baju dan kasut kearah Don. Satu hari Greggo baling kasut tepat mengenai kepala Don. Lampu!!!!! Jerit Don. Masing-masing dengan muka takut melihat benjol besar di kepala Don. Tapi Don hanya menjerit dan memarahi mereka. Dia tak pernah melaporkan kepada Roy Evans, pengurus Liverpool waktu itu. Dia tahu yang mereka hanyalah budak-budak.

Satu lagi permainan yang mereka sering main ialah “Chinese Whisper”. Chinese Whisper sekiranya diterjemahkan secara kasar bermaksud bisikan Cina..heheh…tak boleh kot terjemah secara langsung macam…aku pun tak pasti kenapa nama permainan tu begitu tapi caranya begini. Mereka akan duduk dalam kumpulan dalam keadaan gelap. Orang pertama akan bisik kepada orang sebelah mereka apa-apa kutukan mereka kepada kawan yang lain. Dan orang yang mendengar tadi perlu meingingati kutukan itu dan menambah kutukannya sendiri untuk dibisikkan kepada orang sebelah. Orang yang terakhir akan menyebut semula semua kutukan tersebut satu-persatu. Dengan cara ini mereka dapat mengutuk sesama mereka tanpa mendedahkan identiti mereka…hahah…kiranya macam main radio berkarat tapi ganti ayat tu dengan kutukan. Menarik!

Selain daripada main serang hendap dan Chinese Whisper, mereka juga sering mengenakan satu sama lain dengan memotong stoking, mengikat mati tali kasut, dan macam-macam lagi. Seperti biasa pasti akan ada yang tak puashati. Ada sekali mereka bermain bola 2 sebelah menggunakan stoking yang digumpal dan dimasukkan kedalam stoking lain. Michael buat muka jahat…dia berniat untuk merembat bola itu kea rah seseorang. Mangsa ketika itu, Roy Naylor. Dia merembat dan terus duduk mengikat tali kasut. Rembatannya tersasar. Bola tadi mengenai Adriano Rigoglioso. Cass gelak terbahak-bahak dan melihatnya begitu, Adriano terus bergaduh dengan Cass. Mereka bertumbuk. Michael panik. “Aku dah cetuskan pembunuhan!” Tapi esoknya Michael memberitahu Adriano yang dia bersalah dan mereka berdamai.

Kesetiaan merupakan kod yang tak boleh dilanggar dalam bilik persalinan YTS. Sekiranya ada yang bergaduh ia akan berakhir dengan yang lain menyuruh mereka berdamai dan bersalam. Mereka tak akan sesekali melaporkan perkara sebegini kepada staf Liverpool. Aku rasa inilah antara sebab dah lama tiada pemain yang hebat keluar daripada akademi. Steven sendiri mengakui yang pelatih sekarang pemalu dan tidak seperti mereka dulu. Tradisi YTS sudah hilang daripada akademi. Mungkin dengan adanya pemain muda daripada serata dunia mereka akan berusaha lebih keras untuk mengenali satu sama lain dan menghidupkan kembali tradisi YTS. Atau mungkin perlu ada watak seperti Steven yang perlu diletakkan di akademi untuk membimbing mereka. Apapun, ianya perlu dilakukan sekarang kerana Liverpool sangat-sangat memerlukan Michael Owen dan Steven Gerrard yang berusia 17 tahun. YNWA.

Sambungan ke Lagenda Budak Merah - Bahagian 5









Credit untuk : redderscreepers

Preview : Blackburn vs Liverpool

Diawal pagi Rabu esok, Liverpool akan bertandang pula ke Ewood Park untuk menentang skuad tuan rumah Blackburn Rovers.  Tiada apa lagi misi yang harus diselesaikan melainkan mengembalikan moral kemenangan yang nampak kembali bakal menyinar selepas mencatat keputusan seri 1-1 pada perlawanan menentang Aston Villa di Anfield Sabtu lalu.

Perlawanan ini boleh kita anggap sebagai perlawanan pemanas badan menjelang perlawanan penting separuh akhir piala FA menentang Everton di Wembley pada Sabtu nanti. Disaat tiada apa yang perlu dikejar dalam liga premier ini melainkan memperbaiki ranking untuk menyejukkan hati peminat, Liverpool seharusnya menggunakan perlawanan ini sebagai batu loncatan untuk menjamin kemenangan pada hari Sabtu nanti.

Blackburn bukanlah nama asing dalam kancah liga premier ini. Walaupun prestasi pasukan mereka pada musim ini menjunam hingga menghumban mereka ke kedudukan ke 18 liga, tetapi itu bukan alasan Liverpool boleh tersenyum untuk memasang angan2 mudah memenangi perlawanan nanti. Dengan rekod prestasi Liverpool yang juga sama seperti Blackburn dipenghujung musim ini, kita amat risau jika peristiwa diaibkan oleh Wigan dan QPR bakal berulang kembali.

Kita masih ingat lagi ketika perlawanan menentang pasukan ini di pusingan pertama liga musim ini. Seri 1-1 hasil gol sendiri Adam sebelum maruah kembali diselamatkan oleh Maxi Rodriguez menjadikan kita kerap kali bimbang ketika Liverpool bertemu dengan pasukan bawahan. Sikap sering memandang rendah dan terlalu yakin terhadap pasukan bawahan ini sering mengundang bala kepada diri sendiri.

Kita mengharapkan, Shelvey, Spearing dan Flanagan terus diberi kepercayaan dalam kesebelasan utama disamping merehatkan pemain2 utama sebagai persediaan perlawanan piala FA nanti. Doni yang diturunkan buat kali pertama pada perlawanan lalu, sekali lagi berpeluang untuk membuktikan bahawa beliau adalah lebih layak dari Reina untuk mengalas tugas penjaga gol. Tetapi janganlah pula akibat ingin merehatkan pemain2 utama, Dalglish sanggup mempertaruhkan formasi yang mengarut dan membuatkan Liverpool terus kecundang. Dalglish perlu memotivasikan pemain untuk lebih yakin lagi kerana ketika ini tidak gunanya bermain cantik tetapi tiang gol dan gagal menyudahkan peluang didepan mata menjadi penghalang. Adakalanya semangat lebih penting dalam sesuatu perlawanan berbanding dari tektik yang bagus tetapi tiada penyudah yang berkesan.

Pokok pangkalnya peminat Liverpool terlalu dahagakan kemenangan untuk mengembalikan kecerian kelab. Keputusan seri sememangnya tidak memadai apatah lagi kalah. Menang, menang dan menang. Itu sahaja yang dicari. Berjuang dan terus berjuang hingga ketitisan darah merah terakhir. YNWA

-SG-

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Kelab Peminat Liverpool Malaysia - All Rights Reserved
Partner Sale_ehs Gerrard Published by KPLM
Proudly powered by Blogger