Mimpi ngeri sewaktu bertemu dengan pasukan Manchester City minggu lalu, kini terus berulang. Kali ini kita dimangsakan pula oleh pasukan bimbingan Jose Mourinho, Chelsea. Bermain di arena lawan sememangnya amat sukar untuk ditempuhi apatah lagi kekebalan The Blues di gelanggang keramat mereka memang amat sukar untuk dirobohkan.
Jika nak dibandingkan dengan perlawanan menentang Manchester City lalu, pada perlawanan ini pemain-pemain kita bermain dengan serba serbi kurang menjadi. Akibat pemain utama seperti Gerrard, Enrique, Flanagan dan Sturridge dilanda kecederaan, pemain yang tinggal gagal menyengat untuk menandingi penguasaan bola pemain bintang Chelsea. Jentera midfield Liverpool boleh dikatakan hampir lumpuh disebabkan hampir kesemua pemain turun bertahan asakan dari pasukan Chelsea.
Gol seawal minit ke 3 oleh Skrtel seakan memberi tanda Liverpool akan berkenduri gol pada perlawanan ini. Rupanya indah khabar dari rupa. kesilapan-kesilapan kecil membenarkan pemain-pemain Chelsea membuat percubaan telah memakan diri sendiri apabila Hazard memberi gol penyamaan hasil rembatan padunya dari luar kotak penalti. Tidak cukup dengan itu, kegagalan Mignolet menampan kemas bola dari sentuhan kecundang Eto'o telah membuatkan Chelsea terus berada dihadapan Liverpool hingga ke tamat masa perlawanan.
Suarez memang benar-benar kecewa pada perlawanan ini. Selain dikawal rapi bagai seorang banduan, beberapa terjahan keras terhadap dirinya dalam kotak penalti juga tidak dilayan oleh pengadil Howard Web. Kelihatan juga Suarez hanya seperti berlari-lari makan angin apabila bola jarang sekali sampai kepadanya akibat kegagalan pemain-pemain lain untuk membuat gerakan apatah lagi mengumpan kepadanya.
BR mungkin pening kepala untuk menurunkan kesebelasan terbaiknya dalam perlawanan penting seperti ini. Bagi pendapat saya, ada baiknya dalam kesebelasan utama BR menurunkan Toure untuk bermain pertahanan di sebelah kanan dan Johnson di sebelah kiri di samping Skrtel bergandingan dengan Agger ataupun Sakho di tengah. Memberi kepercayaan kepada Agger untuk mengisi pertahanan kiri, sememangnya tidak menjadi dan amat hambar aktiviti menyerang dri sebelah kiri. Saya pun tidak faham mengapa BR memasukkan pemain muda seperti Smith dari skuad akademi pada perlawanan sebegini. Nak buat testimoni pun agak-agaklah kerana masih ada pemain yang berpengalaman lagi mampu untuk dimasukkan. Mengapa Alberto tidak dimasukkan begitu juga dengan Cissokho dibiarkan sekadar memanaskan bangku simpanan sahaja. Mungkin BR ada deal dengan Mourinho kot kalau kalah boleh beli Juan Mata ke Liverpool. Hehehe
Ramai yang kata pasukan Chelsea bermain seperti didalam perlawanan ragbi. Bila seorang pemain Liverpool bawa bola, yang mengejar dan menghimpitnya sampai tiga orang. Tu belum lagi kira sepak terajang mereka. Ada kemungkinan juga pemain-pemain kita bermain secara berhati-hati bagi mengelakkan mereka langsung tidak dapat bermain untuk perlawanan seterusnya akibat tercedera. Kalau tak percaya, itulah yang diperolehi oleh dua pemain kita Allen dan Sakho pada perlawanan ini yang cedera dan mungkin bercuti agak lama.
Apapun penutup pusingan pertama Premier League dan penutup tahun 2013 ini, kita kalah dua perlawanan berturut-turut yang membawa dari mendahului liga dan kini tercampak ke tangga ke-5 setelah dipotong lagi oleh pasukan jiran iaitu Everton. Awal tahun baru nanti, Liverpool akan kembali bermain di Anfield. Kali ini pasukan yang telah menewaskan kita tempoh hari Hull City akan kita hadapi. Adakah luka akan terus menjadi nanah ataupun bisa dirawat dan sembuh. Harapnya Januari nanti BR perlu lagi untuk membeli 2,3 pemain yang mampu untuk memulihkan reputasi Liverpool. Dan harapan juga Januari dan tahun 2014 nanti adalah tempoh yang terbaik untuk Liverpool kembali pada matlamat asal. YNWA.
CHELSEA : Cech; Ivanovic (Cole), Cahill, Terry, Azpilicueta; D Luiz, Lampard (Mikel); Willian, Oscar, Hazard; Eto’o (Torres)
SUBS : Schwarzer, Cole, Essien, Mikel, Schurrle, Mata, Torres
LIVERPOOL : Mignolet, Sakho (Toure), Agger, Skrtel, Johnson (Aspas), Lucas, Allen (Smith), Henderson, Sterling, Coutinho, Suarez
SUBS : Jones, Toure, Alberto, Aspas, Cissokho, Rossiter, Smith
Chelsea 2-1 Liverpool Highlight 29/12/2013 by ifihighlights
Catat Ulasan